Wanita hilang selama 3 hari ditemui terapung di jeti
Ipoh: Seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu disahkan meninggal dunia apabila mayatnya ditemui terapung di Jeti Zon Maritim Kuala Kurau dekat Parit Buntar petang semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mayat wanita berusia 23 tahun itu ditemui pasukan bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang mahu menambat bot berkenaan di Zon Maritim Kuala Kurau Jeti.
Beliau berkata, polis sebelum ini menerima laporan kehilangan pada jam 10.54 pagi Jumaat lalu di Balai Polis Kuala Kurau.
“Mangsa yang menghidap penyakit tiroid dan asma dikatakan keluar rumah dan bapa mangsa yang bimbangkan keselamatan anak perempuannya telah membuat laporan polis.
“Kami menerima laporan APMM sekitar jam 4.45 petang menyatakan mayat ditemui dan mayat mangsa dibawa ke Jeti Kampung Raja Bashah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata, polis menghubungi pengadu iaitu bapa mangsa untuk proses pengecaman mayat dan mengesahkan identiti mayat terbabit sebagai anak perempuannya yang hilang.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan hasil bedah siasat mendapati kematian tidak dapat dikenal pasti akibat reput mayat,” katanya.
BERNAMA
sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/10/1025009/wanita-hilang-3-hari-ditemui-maut
terima kasih sudah berkunjung ke laman Berita Malaysia