Seorang Guru Bahasa Arab didakwa melakukan salah laku seksual terhadap pelajar lelakinya
Ipoh: Seorang guru bahasa Arab dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan serangan seksual fizikal terhadap kanak-kanak yang juga pelajar lelaki, Jun lalu.
Tertuduh, Abdul Halim Ismail, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon perbicaraan sebaik kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.
Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki yang bekerja di sekolah kerajaan itu didakwa melakukan penderaan seksual terhadap seorang budak lelaki berusia 12 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di bilik 1-2, Federal Resort, Pulau Pangkor di daerah Manjung antara 10 dan 11 malam pada 28 Jun lalu.
Berdasarkan pertuduhan kedua, tertuduh juga didakwa melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak sama di bilik 19 Nipah Bay Villa, Pulau Pangkor, di Manjung antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam pada 30 Jun lalu.
Kedua-dua pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang boleh dihukum mengikut Seksyen sama, dibaca bersama Seksyen 27 Akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebat bagi setiap pertuduhan.
Sementara itu, Seksyen 27 Akta 792 memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan dengan apa-apa kesalahan di bawah Akta itu hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis selama sekurang-kurangnya satu tahun tetapi tidak melebihi tiga tahun bermula sejurus selepas hukuman dijatuhkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amira Nabihan Shahrir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Amira Nabihan pada mulanya meminta mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dan memohon tarikh kes dikemukakan bagi penyerahan dokumen dan pelantikan peguam bagi tertuduh.
Bagaimanapun, semasa mitigasi, tertuduh membuat rayuan sendiri supaya jaminan ditawarkan pada kadar minimum dengan meminta mahkamah mengambil kira jumlah pendapatannya sebanyak RM4,000 sebulan.
Malah, tertuduh turut menjaga bapanya yang sakit di kampung dan turut membantu adik-beradiknya yang bekerja di kampung.
Pihak pendakwaan kemudian meminta mahkamah mengenakan syarat tambahan sekiranya tertuduh dibenarkan diikat jamin iaitu tidak dibenarkan menghampiri dan mengganggu mangsa dalam tempoh jaminan sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan seperti yang diminta pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
terima kasih sudah berkunjung ke laman Berita Malaysia