https://youtu.be/s9YABzCStns?si=6g1nI93qq6Vw-8Hg
Kuala Lumpur: Dia diarah menyorok dan mengurung diri selain mengikat diri seolah-olah diculik. Itulah arahan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai polis terhadap seorang remaja lelaki yang menjadi mangsa penipuan mereka.
Remaja berusia 18 tahun itu juga diminta tidak menghubungi ahli keluarga selepas melakukan beberapa transaksi bernilai RM283,000.
Bagaimanapun, perkara itu terbongkar apabila ibunya menerima panggilan telefon daripada seorang individu mengatakan anaknya telah diculik.
Pada mulanya, wanita itu dihubungi seorang lelaki tidak dikenali Selasa lalu meminta wang tebusan RM300,000 bagi membebaskan anaknya.
Wanita itu kemudian cuba menghubungi anaknya tetapi gagal menyebabkan dia membuat laporan polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras mengesan mangsa di sebuah kondominium di Seksyen 7, Shah Alam.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati pemuda itu bersembunyi di dalam rumah selepas diminta melakukan transaksi bernilai RM283,000 ke dalam beberapa akaun oleh sindiket penipuan.
Katanya, kesemua wang itu dipindahkan kepada pemuda itu menerusi tiga transaksi selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai di Pos Laju Malaysia.
“Lelaki itu menyatakan terdapat bungkusan milik mangsa yang menyalahi undang-undang sebelum diarah bercakap dengan individu lain yang menyamar sebagai pegawai kanan polis.
“Remaja itu didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan pengedaran dadah,” katanya pada sidang media hari ini.
Ia tidak terhenti di situ, kata Mohd Shuhaily, mangsa kemudian diarah bercakap dengan lelaki lain yang menyamar sebagai anggota polis untuk membuat rayuan.
Katanya, mangsa yang diperdayakan diarah membayar sejumlah wang melalui akaun bank yang diberikan suspek.
“Remaja itu pada mulanya memasukkan RM80,000 pada 30 September sebelum memasukkan RM80,000 lagi pada keesokan harinya dalam beberapa akaun.
“Pada 2 Oktober lalu, remaja itu sekali lagi memindahkan wang berjumlah RM80,000 dan kali terakhir RM43,000 membuat RM283,000 dimasukkan oleh remaja berkenaan,” katanya.
Katanya, mangsa turut diarah suspek bersembunyi dan dilarang menghubungi sesiapa termasuk ahli keluarganya.
“Ketika mangsa bersembunyi, suspek turut menghubungi ahli keluarga mangsa dan mendakwa mangsa diculik untuk meminta wang tebusan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya kemudiannya berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 20-an hingga 30-an di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
Menurutnya, kedua-dua tahanan direman sehingga 14 Oktober ini untuk siasatan lanjut.
“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai sebarang panggilan telefon yang diterima daripada mana-mana individu atau agensi kerajaan,” katanya.
terima kasih sudah berkunjung ke laman Berita Malaysia