Presiden Ukraine dianggap munafik, pertahankan tindakan Israel - ABIM
SHAH ALAM - Pemuda Islam Malaysia (ABIM) mengecam tindakan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky kerana mempertahankan tentera Israel dan menuduh tentera Hamas sebagai pengganas.
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya mengecam tindakan itu dan menganggap sebagai hipokrit kerana mempertahankan penceroboh rejim Zionis yang mengebom wilayah Palestin tanpa henti.
“Sedangkan dalam isu penentangan Ukraine terhadap pencerobohan Rusia, lagu yang mereka nyanyikan adalah perjuangan rakyat Ukraine mempertahankan tanah air mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Muhammad Faisal berkata, pihaknya menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membuat resolusi supaya rejim Zionis Israel menghentikan serangan itu.
Jelasnya, tindakan itu perlu dilaksanakan melalui gencatan senjata dan memutuskan untuk mengerahkan pasukan pengaman PBB untuk menguatkuasakannya.
“ABIM juga menggesa PBB segera menubuhkan Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi mendakwa jenayah perang yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin,” katanya.
terima kasih sudah berkunjung ke laman Berita Malaysia