SEGAMAT: Nahas yang meragut nyawa enam keluarga di Kilometer lima Jalan Segamat - Kuantan, petang semalam berpunca daripada lori sarat pasir yang terbabas ke laluan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati dalam kejadian 6.37 petang itu, sebuah kereta jenis Honda HRV dari arah Kuantan menghala ke Segamat dirempuh lori pasir terbabit di bahagian belakang.
Kejadian berlaku apabila pemandu kereta Honda HRV memperlahankan kenderaan kerana ada kerja membaiki jalan.
Lori terbabit turut melanggar sebuah kereta Proton Wira sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah kereta Perodua Alza yang dinaiki enam mangsa.
Polis mengesahkan mangsa yang maut ialah pemandu Perodua Alza, Amir Ruddin Ismail, 46 tahun, isterinya, Norahimah Noor Muhamad, 43 tahun dan empat anak mereka iaitu Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Ansyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Seorang lagi anak mangsa, Abdullah Amir Ruddin, 15 tahun dan seorang pemandu lori, cedera parah dan dirawat di Hospital Segamat.
Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.
Sementara itu, difahamkan, jenazah Imam Amir Ruddin, isteri dan empat anaknya akan dibawa pulang ke Muar.
Kesemua jenazah dijangka dikebumikan jam 3 petang ini di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ubudiah, Parit Limbong.
terima kasih sudah berkunjung ke laman Berita Malaysia