9 individu didakwa culik isteri kontraktor menuntut wang tebusan RM540,000
Georgetown: Sembilan individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jenayah hari ini, atas pertuduhan menculik seorang wanita warga Indonesia yang juga isteri kepada kontraktor pada 7 September lalu.
Tertuduh ialah Mohamad Noor Shahrizuan Hashin, Tan Gim Chun, C Youganathan, Lok Wai Lun, Haffizan Samsudin, Noorazlin Mat Kasa termasuk seorang wanita, Elaine Gooi Swee May serta dua lelaki warga Indonesia, Yussuf Bahtiar dan Agong Laksono.
Terdahulu mereka tiba di perkarangan mahkamah dengan diiringi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang kira-kira jam 8.30 pagi.
Kesemua tertuduh berusia antara 29 dan 41 tahun hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa, namun tiada pengakuan direkodkan dalam prosiding di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa menculik mangsa berusia 36 tahun dengan tujuan menuntut wang tebusan RM540,000 di sebuah unit Pangsapuri Sri Aman, Paya Terubong di sini, kira-kira jam 7 pagi, 7 September lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun hingga maksimum 40 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Darrshini S Murgan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Chiang Kian Hong.
Tiada jaminan dibenarkan kerana kesalahan itu tidak boleh diikat jamin dengan mahkamah kemudian menetapkan 11 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.
Pada 22 September lalu, media melaporkan seorang wanita melalui detik menakutkan apabila dia diculik, dikurung dan diseksa selama 10 hari di penjara di mana suaminya didakwa tidak membayar hutang.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin dilaporkan berkata, seorang lelaki warga Indonesia membuat laporan di Balai Polis Kinrara, Selangor, mendakwa isterinya yang sedang bercuti di Georgetown telah diculik oleh sekumpulan individu tidak dikenali.
Lelaki terbabit mendakwa isterinya dikurung dan cedera di lokasi tidak diketahui dan suspek meminta wang berjumlah RM540,000 untuk membebaskan mangsa.
Wanita malang yang turut dibakar dengan puntung rokok manakala kukunya dicucuk jarum akhirnya berjaya diselamatkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Pulau Pinang dan JSJ Selangor.
UBAT BERHENTI KETUM PENAWAR KETUM ROKOK MINUMAN BOTANI PELBAGAI KHASIAT 500ML at 57% off! RM15.00